Tetapi akibat 'telunjuk lurus kelengkeng berkait' penjajah barat baik Portugis, Belanda, Inggeris mahupun Amerika yang pada awalnya hendak berdagang akhirnya sedikit demi sedikit negeri-negeri Melayu ini telah menjadi tanah jajahan berabad-abad lamanya.
Tuduhan-tuduhan dari orang-orang barat yang mengatakan bahawa orang-orang Melayu berkebudayaan lanun seperti yang pernah kita dengar beberapa tahun yang lalu adalah semata-mata karut dan sengaja direka dengan maksud dan niat serta bertujuan jahat.
Orang-orang Melayu telah bertamadun sejak beribu tahun yang lalu. Selain daripada dapat mengatur dan mentadbir negaranya sendiri sesuai dengan keadaan waktu itu, nenek moyang kita juga telah biasa mengharungi samudera luas seperti Lautan Hindi, Laut China dan sekitar Lautan Pasifik Selatan selain dari laut alam Melayu dengan menggunakan kapal-kapal layar yang besar yang mereka bina sendiri.
Mereka bukan saja membuat perhubungan dengan negeri China, sebelah timur, malah dengan negara yang lebih bertamadun dan kuat di barat yang kita kenal dengan nama Benua Rom.
Laksamana Hang Tuah pernah diutus oleh Sultan Melaka sebagai duta pelawat dikedua-dua buah negara tersebut, selain dari menjalin hubungan dan mengikat tali persahabatan di antara kerajaan Melayu Melaka dengan negeri China dan Benua Rom, hubungan dagang juga telah turut dilakukan.
Orang-orang Bugis umpamanya walaupun dicap sebagai perompak lanun oleh orang-orang barat, tetapi apa yang sebenarnya, mereka adalah perwira-perwira angkatan laut yang gagah perkasa dan mahir dalam peperangan laut. Angkatan laut Portugis, Belanda dan juga Inggeris banyak yang tewas di tangan mereka yang telah menguasai laut alam Melayu sehinggalah ke Riau dan Semenanjung Tanah Melayu.
Sebagaimana dengan negeri-negeri lain, Negeri Sembilan juga tidak kurang dengan susunan pentadbiran yang teratur meskipun ia merupakan sebuah negeri yang baru terbentuk setelah runtuhnya kerajaan Melayu Melaka dan Johor.
Raja Melewar yang dijemput dari Minangkabau itu telah ditabalkan pada tahun 1773M oleh Datuk-datuk Penghulu Luak (waktu itu belum bergelar Undang) di Kampung Penajis, Rembau. Sebelum itu walaupun Negeri Sembilan di bawah pemerintahan Sultan Johor, tetapi Luak-luak di Negeri Sembilan ini adalah di bawah pentadbiran Penghulu masing-masing dengan dibantu oleh Lembaga dan Buapak. Sistem pentadbiran negeri dapat dikatakan satu pemerintahan yang bercorak demokrasi yang berbentuk 'tear system'. Perbilangan yang menyebutkan,
Bulat Buapak menjadikan Lembaga
Bulat Lembaga menjadikan Penghulu
Bulat Penghulu menjadi Raja'
membuktikan atas kebenaran ini. Manakala sistem pentadbiran pula turun dari atas iaitu Raja, Penghulu, Lembaga dan Buapak. Buapak yang memiliki anak buah menyampaikan segala perintah. Itulah yang disebutkan dalam perbilangan adatnya:
'Berjenjang naik, bertangga turun'.
Setelah penjajah Inggeris mencampuri pemerintahan, maka berlakulah berbagai-bagai perkara yang tidak diingini -"pecah-pecah dan perintah" yang menjadi permainan penjajah itu telah digunakan dengan bijaksana oleh penjajah Inggeris. Akhirnya Sungai Ujung dan Jelebu terpaksa menerima seorang Residen British, kemudian diikuti oleh Rembau manakala Seri Menanti telah kalah berperang dengan Inggeris yang dibantu oleh Penghulu Syed A.Rahman Sungai Ujung pada tahun 1874M.
Nama Negeri Sembilan yanag kita warisi sekarang ini adalah diambil dari nama 'Sembilan Negeri' yang diketuai oleh 'Sembilan Penghulu' yang menabalkan Raja Melewar. Perkataan 'Negeri' di pangkal huruf 'Sembilan' itu adalah diambil dari istilah yang lazim dipakai dari tanah leluhur (asal) Minangkabau yang membawa pengertian satu kawasan atau daerah yang kira-kira seluas luak atau mukim atau kampung, orang-orang Minang memanggil dengan nama 'negeri'. (Huraian lanjut mengenai perkara ini ada saya jelaskan dalam buku 'Takhta Kerajaan Negeri Sembilan').
3 comments:
kenangan terindah
Apakah significant number-number dalam peta itu? K & P itu ape?
betul ke?
k- keluasan tanah
p- penduduk setempat
Post a Comment